KEMELUT kewangan meruncing dihadapi Perak FC bakal berakhir setelah pemilikan kelab diambil alih oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad (XOX).
Perkembangan itu disahkan Malaysian Football League (MFL) yang memaklumkan XOX telah diumum sebagai pemilik baharu Perak FC berkuat kuasa hari ini.
Menurut MFL, XOX telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perak FC mengenai pengambilalihan kelab dengan proses perundangan yang penuh dan wajar untuk dimuktamadkan.
“Unit Pelesenan Kelab MFL mengesahkan XOX telah berjaya menyediakan semua dokumen seperti diminta oleh MFL pada hari ini yang juga tarikh akhir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas MFL, pengurusan tertinggi XOX telah bertemu dan berbincang dengan ketua jurulatih dan pembantu jurulatih Perak FC serta dua pemain mengenai komitmen mereka.
Selain itu, mereka membincangkan hala tuju pasukan dalam jangka pendek dan panjang, isu gaji tertunggak dan rancangan selepas sekatan perpindahan ditarik balik.
“MFL percaya kedatangan XOX bukan sahaja menandakan permulaan semula Perak FC yang disokong oleh korporat yang kukuh dan teratur, malah menandakan pergerakan positif ke arah kemasukan satu lagi syarikat besar ke dalam pemilikan sesebuah kelab bola sepak di Malaysia.
“MFL yakin Perak FC akan dapat bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan sebaik sahaja semua proses pengambilalihan yang begitu besar telah berjaya diselesaikan,” katanya. – Malaysiapost

