Lebih 1,000 produk makanan tamat tarikh luput, rosak disita

0
3

SEBANYAK 841 produk makanan yang didapati tamat tempoh dan 566 yang mempunyai bungkusan rosak seperti tin kemek disita dalam Operasi Keselamatan Makanan bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata operasi berkenaan dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) peringkat negeri bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh Selangor pada 25 hingga 26 April lalu.

Menurutnya, hasil operasi yang dilaksanakan sejumlah 42 premis meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit telah diperiksa membabitkan pemantauan terhadap 9,681 produk makanan keseluruhannya.

“Daripada jumlah itu, 841 (8.7 peratus) didapati telah tamat tempoh tarikh luput, manakala 566 (5.8 peratus) dikesan mempunyai bungkusan yang rosak seperti tin kemek dan bekas yang rosak.

“Kesemua produk makanan terbabit yang bernilai RM12,413 telah diarah supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita mengikut Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan mengikut Seksyen 4(8) Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 Notis 32B kesalahan dibawah Peraturan 14(9)(b), Peraturan 14(7) dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan semasa operasi berkenaan.

“Sekiranya Orang Kena Notis (OKN) gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil dengan prosiding pendakwaan di mahkamah.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dr Sha’ari berkata, JKN Selangor sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai khususnya yang berada di pasaran dan akan melaksanakan pelbagai operasi musim perayaan secara berkata serta berterusan sepanjang tahun.

“Secara umumnya, disamping bertujuan untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat dan berkualiti selaras dengan keperluan yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983, operasi ini memberi fokus kepada makanan yang telah tamat tarikh luput dan mempunyai bungkusan rosak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here