SEBANYAK 52,550 tiket bas ekspres sepanjang musim perayaan Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu negara, masih belum terjual.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata ia melibatkan 23,800 bagi arah selatan, 17,850 untuk arah utara dan 11,900 bagi arah timur.
Menurutnya, setakat hari ini sebanyak 23,595 daripada 77,145 tiket bas ekspres di TBS untuk perjalanan pulang berhari raya telah dijual.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai masih boleh membeli tiket untuk pulang menyambut Aidilfitri memandangkan terdapat lebih 50,000 tiket ditawarkan oleh syarikat bas ekspres.
“Menjelang musim perayaan, sebanyak 6,592 trip perjalanan ke seluruh negara ditawarkan sepanjang 29 April hingga 8 Mei dengan 23,595 atau 30 peratus tiket telah terjual,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Beliau ditemui media selepas meninjau operasi bas eskpres di TBS menjelang Aidilfitri hari ini.
Menurut Ka Siong, sebanyak 97 perkhidmatan bas tambahan disediakan bagi menampung permintaan yang tinggi sempena Aidilfitri kali ini.
Angka itu katanya, menunjukkan peningkatan permintaan, sekali gus titik pemulihan dalam industri pengangkutan awam terutama bas ekspres selepas Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lalu. – Malaysiapost

