Banjir kilat: Bukti Kuala Lumpur semakin kritikal – Syed Saddiq

0
3

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kejadian banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur kelmarin, membuktikan keadaan ibu kota kini dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di ibu kota itu adalah sesuatu yang memalukan kerana Kuala Lumpur menjadi tempat tumpuan pelabur dan syarikat konglomerat serta kedutaan asing di negara ini.

“Hujan tak lama pun – tetapi Kuala Lumpur telah dilanda banjir. Ini situasi yang terlalu kritikal untuk Kuala Lumpur.

“Tak masuk akal bagaimana nasib ibu kota Malaysia bergantung kepada keadaan cuaca pada hari-hari tertentu. Kalau hujan lebat, banjir. Kalau tak hujan, tak ada banjir.

“Ini bukan bandar biasa – ini ibu negara Malaysia. Ini mercu negara. Tempat paling banyak pelabur dan syarikat konglomerat bertapak. Kawasan paling banyak mendirikan bangunan kedutaan asing,” katanya menerusi Facebook.

BACA LAGI: Hujan lebat punca banjir kilat di KL – Shahidan Kassim

Beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata, lebih malang lagi apabila isu berkenaan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Setiap kali hujan, banjir. Malulah. Malangnya tidak ada respons yang serius dari Kerajaan Malaysia dan Menteri Wilayah.

“Saya fikir memang tidak akan ada respons sebab soal banjir ini dianggap biasa berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, negara menanggung kerugian lebih RM6.1 bilion tahun lalu akibat banjir.

“Kereta rosak, rumah masuk air, perabot semua musnah. Dua hari lepas pun banjir lagi, ada kereta yang rosak lagi.

“Kalau tak ada insurans kenderaan berkaitan banjir, susah pemilik kenderaan nak tanggung. Kerajaan pula buat diam tak tahu apa-apa.

“Nanti kalau ada hujan, banjir lagi. Ulang semula berita banjir ni macam cerita abang Jamil. Kerajaan buat tak tahu,” katanya.

Isnin lalu, hujan lebat di sekitar pusat bandar menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terbabit banjir kilat adalah Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Semantan, Jalan Pintasan Gambut, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn dan Jalan Merdeka.

Malah, banjir kilat itu juga menyebabkan berlaku kesesakan aliran trafik di beberapa jalan utama di pusat bandar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here