TINDAKAN kerajaan melarang kenderaan mikromobiliti digunakan di atas jalan berkuat kuasa serta-merta amat tepat.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata larangan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mobiliti Tertentu) 2021 itu bertujuan menghindari dari bahaya kepada pengguna.
Menurutnya, antara kawasan dengan kadar penggunaan tinggi terhadap kenderaan mikromobiliti ini adalah di Kuala Lumpur.
“Di Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali, ramai memilih menggunakan kenderaan jenis Moped (mempunyai 2/3 roda dengan punca kuasa dari sumber elektrik) untuk bergerak ke tempat kerja dan lain-lain destinasi.
“Dengan keadaan jalan raya yang sering mengalami kadar penggunaan tinggi saban hari, maka kenderaan sebegini mampu menjemput risiko kemalangan di jalan raya.
“Tindakan ini bukanlah tanda tidak menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut, namun ia bertujuan menyelamatkan nyawa pengguna secara keseluruhannya,” katanya hari ini.
Sehubungan itu untuk membentuk keadaan seimbang, beliau memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) di tiga Wilayah Persekutuan untuk membuat kajian terperinci cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur jalan bagi menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut.
“Sekiranya bersesuaian, mungkin jalan alternatif khas perlu diwujudkan buat semua pengguna kenderaan Mikromobiliti, sepertimana kita membentuk laluan khas untuk motosikal, basikal dan pejalan kaki.
“Apapun ia memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut diimplementasi di Wilayah Persekutuan.
“Akhirnya, saya berharap pengguna jalan raya di Wilayah Persekutuan untuk terus mengamalkan sikap berhemah dan kekal mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Semalam Kementerian Pengangkutan menetapkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata larangan itu dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember lalu.
Beliau berkata, tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).
Untuk penggunaan basikal, walaupun tidak dilarang namun ia hendaklah mematuhi semua peraturan yang sudah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

