PDRM mengalukan-alukan masyarakat rakam pesalah trafik

0
2

ORANG ramai dialu-alukan memberi kerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18 sempena sambutan Aidilfitri 2022 yang bermula semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata masyarakat boleh membantu dengan berkongsi video serta gambar kepada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) agar tindakan lanjut dapat diambil.

Menurutnya, melalui Op Selamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited untuk memastikan masyarakat dapat merayakan sambutan Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepanjang perjalanan.

“Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran trafik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, fokus utama Op Selamat kali ini adalah untuk memastikan aliran trafik yang lancar bagi pengguna jalan raya, selain memastikan keselamatan harta benda, premis kediaman dan menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan serta meminimumkan kes kemalangan.

BACA LAGI: PLUS ambil langkah proaktif sempena Aidilfitri

“Sepanjang operasi ini berlangsung, PDRM melalui JSPT bakal melaksanakan Op Lancar di kawasan-kawasan hotspot yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

“Seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota-anggota Balai dan elemen Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan bit akan diatur gerak secara holistik dan sistematik,” katanya.

Menurutnya, ia bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran.

Beliau meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahguna lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here