YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-88 kepada seluruh warganya.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, ucapan tersebut turut ditujukan baginda kepada veteran dan semua yang pernah berkhidmat dengan TLDM.
“Jasa, khidmat dan bakti TLDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan perairan negara amat dihargai dan disanjungi.
“Semoga TLDM terus menjadi sebuah angkatan laut yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa. Syabas dan tahniah,” titah baginda.
Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi hantaran di Facebook miliknya, berkata pada tanggal 27 April 1934 bermula perjuangan TLDM demi kedaulatan negara yang tidak bernoktah.
“Latihan demi latihan. Operasi demi operasi. Pelayaran demi pelayaran. Genap 88 tahun hari ini.
“Terlalu banyak kisah kebanggaan sudah dicoret dalam lipatan sejarah. Tahniah dan terima kasih #NavyPeople!
“Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia ke-88,” katanya. – Malaysiapost


