Video raya Aliff Syukri tidak boleh disekat serta-merta – Annuar Musa

0
3

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia tidak mempunyai hak untuk menyekat serta-merta video Aidilfitri usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menerima kecaman ramai selepas didakwa kandungannya mencolok mata.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya perlu melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

“Kita tak boleh sekat sebab nanti orang saman kita. Kalau nak sekat kena berdasarkan undang-undang. Kementerian dan menteri tak boleh sekat. Yang boleh sekat mahkamah.

“Kalau boleh sekat, macam-macam saya dah sekat, tetapi kita ada akta, maknanya kalau langgar undang-undang, baru boleh ambil tindakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Pengamal Media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia di Kuala Lumpur, malam ini.

Annuar mengesahkan beberapa individu termasuk Aliff Syukri sudah hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya, pagi tadi.

Terdahulu, Aliff Syukri yang tiba di SKMM pada jam 9.58 pagi tadi, memberi keterangan hampir lima jam bagi membantu siasatan berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikaitkan dengan unsur bertentangan norma dan budaya tempatan.

Ketika ditemui pemberita, usahawan itu merayu semua pihak tidak mengaitkan ahli keluarganya dalam isu video Aidilfitri mencolok mata yang dilakonkannya baru-baru ini.

Beliau juga turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan tindakannya itu.

Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here