Wisma Putra bantu tangani cabaran hidup rakyat Malaysia di Rusia

0
2

LEBIH 800 rakyat Malaysia yang kini berada di Rusia mengalami pelbagai cabaran di negara berkenaan yang sedang berdepan konflik dengan Ukraine.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata antara cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia di Rusia adalah isu perbankan dan inflasi.

Menurutnya, mereka menghadapi kesukaran dalam urusan kewangan dan harga barang yang kian meningkat di berikutan konflik yang dihadapi.

“Hari ini saya mengadakan pertemuan secara maya bersama keluarga Malaysia di Rusia menjelang Aidilfitri bagi memahami cabaran yang dihadapi mereka di Rusia berikutan konflik antara Ukraine – Rusia.

“Saya gembira dapat bertemu dengan Keluarga Malaysia terdiri daripada pelajar, ahli perniagaan dan warga profesional dalam keadaan sihat dan ceria walaupun berhadapan beberapa cabaran dalam kehidupan seharian sejak hujung bulan Februari lalu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Wisma Putra akan sentiasa memantau situasi semasa dan telah bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi membantu rakyat Malaysia di Rusia.

“Wisma Putra bekerjasama dengan agensi seperti Education Malaysia Global Services Corporate dan Majlis Amanah Rakyat untuk mengatasi isu-isu yang dihadapi.

“Kami di Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Rusia sentiasa kekal berhubung dengan rakyat Malaysia di Rusia untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka dijamin,” katanya.

Dilaporkan seramai 816 rakyat Malaysia kini berada di Rusia yang terdiri daripada 779 pelajar dan 37 ekspatriat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here