Pemuda Umno Kelantan gesa kerajaan siasat semua hakim kes Najib

0
2
Noor Hariri

PEMUDA Umno Kelantan menggesa kerajaan segera membuat siasatan menyeluruh kepada semua hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata siasatan itu termasuklah membabitkan hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana dibimbangi telahpun mempunyai ‘skrip jalan cerita’ untuk menjatuhkan Najib.

“Bukti-bukti yang dikemukakan oleh peguam bela langsung tidak diambil pakai, malah lebih pelik lagi saksi utama seperti Jho Low dan Nik Faisal langsung tidak dipanggil untuk diberi keterangan, walhal dua orang inilah yang menjadi watak penting dalam ‘unusual dealing’.

“Sifir mudahnya, mana mungkin seseorang itu dijatuhkan hukuman sementelah saksi utama yang menyebabkan segala kebobrokan huru-hara ini bebas menjalani kehidupan di luar sana. Sama-sama kita fikirkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan Najib.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada Selasa lalu, Mohd Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Mohd Nazlan ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 2020, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Noor Hariri berkata, sejak daripada awal lagi pihaknya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan lantikan Nazlan selaku Hakim yang mengadili perbicaraan kes Najib. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here