Pemuda Umno zahir terima kasih kepada PM tuntas selesai isu rakyat

0
2

PEMUDA Umno mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tuntas menyelesaikan dua masalah rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata pihaknya telah membawa dua isu yang telah lama membelengu rakyat kepada Perdana Menteri untuk segera diselesaikan.

“Terima kasih Perdana Menteri yang pantas bertindak menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan mendengar denyut nadi mereka.

“Maaf saya tidak dapat hadir bersama dalam majlis di Kemaman kerana berada di Tanah Suci dan mewakilkan Exco saya Fairuz, Ketua Pemuda Terengganu Saudara Tengku Haphiz dan Ketua Pemuda Kemaman Saudara Hashim Ali untuk bersama-sama YAB PM dalam Majlis tersebut,” katanya di Facebook hari ini.

Mengimbas kembali, Asyraf menjelaskan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang telah berkunjung ke pejabat Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

“Mereka meminta bantuan saya dan Pemuda Umno untuk bantu memperjuangkan dua isu besar iaitu isu pampasan kepada bekas pekerja Perwaja Steel dan isu hak berpersatuan guru-guru terutamanya gred DG 52 dan DG 55 yang tidak memegang apa-apa jawatan pentadbiran sekolah untuk aktif berpersatuan khususnya dalam NUTP.

“Kedua-dua ini telah kami bawa ke pengetahuan YAB Perdana Menteri sendiri Datuk Seri Ismail Yaakob,” katanya.

Semalam, media melaporkan, semua 709 bekas pekerja kilang Perwaja Steel Sdn Bhd akan mendapat pampasan selepas ditamatkan perkhidmatan pada November 2014.

Perdana Menteri berkata, kes yang dibicarakan lebih tujuh tahun itu akhirnya berupaya diselesaikan dengan pemberian pampasan secara keseluruhan sebanyak RM8.645 juta.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau turut bersyukur apabila bekas pekerja Perwaja Steel mendapat hak yang sewajarnya.

“Alhamdulillah kelmarin kesemua 709 telah terima pampasan yang keseluruhannya berjumlah RM8.645 juta yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Malah, PM telahpun menghubungi Tan Sri Ketua Setiausaha Negara agar isu hak berpersatuan guru-guru dalam NUTP dapat diselesaikan segera.,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here