Bella: ‘Saya tak boleh tengok lama, kasihan’ – Siti Nurhaliza

0
1

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin mengakui sifat keibuan yang dimilikinya menyebabkan beliau tidak sanggup menatap lebih lama gambar apatah lagi menonton klip video kesan-kesan penderaan yang dialami Bella.

Beliau berkata, naluri keibuannya tersentuh melihat Bella yang merupakan remaja sindrom down diperlaku sedemikian rupa.

“Saya tak boleh nak tengok lama, kasihan. Kita sebagai ibu yang ada anak. Jadi apa yang berlaku kepada Bella tu, kita boleh rasa.

“Kalau kita bukan seorang ibu pun, kita tengok tu, kita pasti ada rasa sifat kemanusiaan tu,” katanya dipetik portal Wilayahku.

Turut bersimpati dengan nasib Bella, Siti menjelaskan, kisah malang remaja berusia 14 tahun itu yang didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sememangnya menghantui setiap lapisan masyarakat Malaysia terutamanya kepada mereka yang bergelar ibu.

“Sebagai manusia yang ada hati dan perasaan, apa yang berlaku ini sangat mengganggu, bukan sahaja saya dan para ibu tetapi seluruh masyarakat yang menonton (yang mengikuti kes Bella).

“Dari mana sekalipun mereka, sudah tentu sifat kemanusiaan itu tercabar apabila terjadinya macam ni. Tambah pula, adik Bella ini Orang Kurang Upaya dan diperlakukan sebegitu.

“Saya harap dia diadili sebaik-baiknya, seadil-adilnya. Sebab adik Bella ni insan istimewa. Dia dah istimewa di mata Allah pun. Kenapa kita sebagai hamba Allah pun nak buat macam tu. Saya harap dia diadili sebaik-baiknya,” katanya.

Pada masa sama, Siti mengaku lebih selesa mengikuti perkembangan kes Bella berjalan dengan sendiri.

“Sebab tu saya tak buat apa-apa statement. Saya suka lihat, dengar dan tengok perbicaraan berjalan dengan sendiri.

“Apa-apa pun, sudah tentu adik Bella ini insan yang tak berdosa pun,” katanya.

Kes Bella ini turut mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) iaitu Che Besar Puan Khaleeda yang berjanji akan melakukan sehabis baik demi menuntut keadilan terhadap remaja istimewa itu.

TMJ juga menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here