Surat dari remaja autisme buat menteri agama terharu

0
4

Nurul Huda Abhar

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi sepucuk surat dari seorang remaja lelaki istimewa yang menghidap autisme.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu memberitahu telah beberapa kali menerima surat daripada remaja tersebut, malah sentiasa mengikuti perkembangannya.

Kandungan surat tersebut memohon Dr Zulkifli mendoakan semua anak-anak istimewa disayangi dan ibu bapa mereka kekal sabar menjaga keperluan mereka.

Selain itu, remaja bernama Aiman, 14, turut mendoakan agar Malaysia bebas daripada penularan wabak Covid-19.

“Kepada Ustaz Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Aiman doakan ustaz sihat dalam rahmat Allah selalu. Aiman doakan moga negara Malaysia aman, dan Covid-19 berlalu pergi.

“Tujuan Aiman ni mohon Ustaz Dr Zulkifli doakan moga Aiman dan semua anak istimewa semua disayangi.

“Boleh tak ustaz doakan juga semua ibu bapa yang ada anak isitimewa, abang dan kakak yang ada autism atau anak istimewa moga mereka sabar banyak-banyak.

“Khabarkan mereka berita gembira bahawa Allah akan balas semua penat Lelah mereka, Allah maha adil.

“Doakan juga Aiman Berjaya dunia akhirat. Ustaz jaga kesihatan ya. Ustaz seorang yang kuat bekerja. Moga Allah lindungi ustaz dan keluarga,” tulis remaja itu.

Menurut Dr Zulkifli, surat tersebut diterima selepas beliau selesai menyampaikan Kuliah Dhuha Muslimat di Surau Annur, Bandar Baru Bangi.

“Saya amat terharu dengan kepercayaan dan harapan yang beliau berikan kepada saya.

“Saya doakan Aiman membesar menjadi anak yang soleh, bijak dan membanggakan kedua-dua ibu-bapa bila dewasa nanti,” ujarnya. – Malaysiapost