Nilam Oshman
SABAH perlu dikenakan sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ bagi menyekat penularan wabak Covid-19 ke seluruh negara, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Menurut Dr Zainal Ariffin, kebanyakan kes positif Covid-19 di Semenanjung kini adalah dalam kalangan mereka yang pulang dari Sabah.
“Memang kita dah tengok ada kes di Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor… kes-kes baru itu bermula daripada orang balik dari sanalah (Sabah), jadi ia fakta.
“Jadi, kita cadangkanlah “lockdown” untuk sekat Covid-19… ataupun kuarantin orang yang balik dari Sabah, balik saja ke sini terus kuarantin 14 hari,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.
Mengulas mengenai akan muncul Kluster PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada Kluster Pilihan Raya Negeri Sabah kerana ketika ini pun telah dikesan beberapa kes membabitkan mereka yang berkempen di negeri itu.
“Semalam pun ada 11 kes positif datang dari sana jadi memang banyaklah (risiko tinggi), kemungkinan berlaku Kluster PRN Sabah ini.
“Justeru, kemungkinan berlaku (Kluster PRN Sabah) itu ada, sebab kempen dah habis, jadi orang yang berkempen balik ke mari (Semenanjung). Kemungkinan berlaku itu besarlah,” katanya.
Antara yang disahkan positif Covid-19 selepas berkempen adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii; Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan serta calon Barisan Nasional (BN) Pitas, Sufian Abdul Karim. – Malaysiapost

