Tunggakan 3 bulan gaji akan diselesaikan segera

0
2

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan tiga bulan gaji pemain dan barisan jurulatih skuad Hijau Kuning itu sebelum 30 September ini.

Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tunggakan gaji itu membabitkan bayaran bagi April, Mei dan Jun, manakala gaji semasa sudah dibayar.

“Kita tak ada masalah dalam menyelesaikan gaji semasa dengan gaji Julai, Ogos dan September tahun ini sudah kita lunaskan.

“Manakala untuk April, Mei dan Jun yang tertunggak akan kita selesaikan sebelum 30 September ini,” katanya seperti dilapor BH.

Sementara itu, Sanusi menjelaskan KFA tidak berhadapan sebarang masalah berkaitan proses pelesenan kelab seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tertangguh sebelum ini.

Katanya, KFA kini sedang mendapatkan persetujuan pemain bagi melengkapkan urusan pelesenan selain sudah menghantar surat kepada FAM berhubung perkara itu semalam.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak menyifatkan pembayaran tunggakan gaji sebagai sesuatu yang positif buat anak buahnya.

“Sudah tentu perkara itu menambah moral pemain menjelang penghujung saingan liga,” katanya ketika dihubungi hari ini. – Malaysiapost