Sebagai calon PM PRU15, Ismail Sabri perlu cari ‘formula kemenangan’ BN

0
2

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memikul tanggungjawab mencari ‘formula kemenangan’ untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Umno, kata Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, katanya, itulah rasional kepada ideanya yang mencadangkan Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN yang baharu dan Pengarah PRU-15 parti itu.

“Jawapannya mudah. Pertama dinamakan sebagai calon PM tidak membawa sebarang makna sekiranya parti tidak memenangi PRU dengan cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.

“Kedua (dalam kemungkinan umno tidak berupaya memenangi sekurang kurangnya 112 kerusi secara solo), jawatan PM tidak boleh ditentukan oleh Umno sahaja.

“Sebaliknya perlu ditentukan bersama oleh komponen BN, dan selanjutnya perlu mendapat sokongan majoriti ahli dewan rakyat, yang datangnya dari pelbagai parti lain lagi,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sekiranya Ismail Sabri dapat menakhodai bahtera BN, maka beliau dan Presiden Umno boleh menjadi gandingan mantap untuk menjamin kemenangan saf Umno, parti komponen dan parti sahabat pada PRU15.

Katanya, sebagai calon Perdana Menteri Umno, Ismail Sabri perlu mencari ‘the winning formula’ untuk parti dan ia bukan satu perkara mudah, apatah lagi tanpa kedudukan yang kukuh dalam parti dan organisasi pilihan raya.

“Pertama Ismail Sabri perlu mempastikan kesiapsiagaan BN dari segi organisasi, jentera, kewangan,logistik sebelum beliau membubar Kerajaan Campuran pimpinannya sekarang untuk mendapat mandat baru.

“Jika tidak,’yang dikejar tak dapat,yg dikendung berciciran’,” katanya.

Beliau berkata, Ismail Sabri juga perlu membuat perhitungan dan mencari formula kemenangan terutama menentukan saf Ahli Parlimen Umno yang mampu menang untuk mencukupkan bilangan kerusi membentuk kerajaan.

Katanya, percaturan itu melibatkan pemilihan calon PRU15 akan datang yang perlu berdiri bersama beliau dalam kerajaan.

“Ketiga, Ismail Sabri perlu memikirkan ‘alliance’ yang sesuai bagi mempastikan kemenangan BN. Ini melibatkan keyakinan parti parti lain utk memberi sokongan kepadanya sebagai PM.

“Keempat dan paling penting Ismail Sabri mesti berada pada posisi yang kukuh dalam BN, kerana jika tidak beliau hanya menjadi ‘lame duck Prime Minister’ yang pastinya akan sekali lagi mewujudkan ketidakstabilan Kerajaan pimpinannya,” katanya.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, semua itu hanya boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya Ismail Sabri sendiri memimpin BN dan bertindak sebagai Pengarah Utama PRU 15.

“Jika tidak beliau tidak lebih dari hanya ‘bakal pengantin’ yang ijab dan kabulnya terletak kepada imam dan wali serta bakal pasangan yang belum tentu menjadikan impian satu kenyataan,” katanya.

Semalam, Annuar berkata, sudah tiba masanya Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN yang baharu susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri bagi PRU15.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, turut mencadangkan agar Ismail Sabri dipilih sebagai Pengarah Utama Jentera Pilihan Raya BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here