
AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng menegur tindakan segelintir ahli politik yang menjadikan isu basikal lajak untuk membangkitkan sentimen perkauman.
Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, berkata rakyat Malaysia dilihat bersatu padu dalam isu ini, tetapi ahli politik cuba memecah-belah kesepakatan dan perpaduan itu dengan memainkan isu perkauman.
Katanya, tindakan ahli politik itu tidak wajar, sepatutnya mereka lebih peka dengan isu yang melibatkan kaum, bukannya mengeruhkan lagi keadaan.
“Terima kasih kepada semua. Rakyat Malaysia hampir 99 peratus berdiri sama dalam kes basikal lajak. Ia bukan isu perkauman. Ia satu tragedi.
“Tak kira apa kaum, kita sama-sama berdiri teguh kerana ia satu kes yang akan melibatkan kita semua sebagai pengguna jalanraya.
“Namun ada parti politik cuba mengeruhkan keadaan dengan sentimen berbaur kurang waras. Kita biarkan depa hanyut dengan politik depa (mereka),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang cuba dibawakan oleh ahli politik terbabit.
Katanya, walaupun rakyat berbeza pendapat dan pandangan namun yang paling penting sentiasa menjaga perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
“Untuk rakyat Malaysia, kita menang. Kita menang dengan ada yang setuju dan tidak setuju. Tetapi kita menang atas landasan kita tak ada langsung bau perkauman. Ada dua atau tiga ‘ekor monyet’ cuba mengeruhkan dengan intipati perkauman cuba diselitkan.
“Kita biar depa. Yang saya kagum, suara kita ada lah suara perpaduan, suara rakyat Malaysia yang sebenarnya. Kita menjangkaui batas perkauman. Kita beri komen secara matang dan berintelek.
“Thanks Malaysians. Kita sekali lagi menang dalam perpaduan kita dalam isu yang penting. Tahniah anda semua,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang kerani wanita, Sam Ke Ting dijatuhkan hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak pada 18 Februari 2017.
Susulan itu, satu petisyen merayu pembebasan Sam Ke Ting, 27, di laman Change.org telah menerima hampir 800,000 tandatangan, setakat jam 5.30 petang semalam.
Segelintir netizen menyatakan sokongan kepada wanita berkenaan dan menyifatkan hukuman yang dikenakan terlampau berat sedangkan wanita terbabit hanyalah mangsa keadaan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Uncle Kentang
