“KEPADA sekalian wakil rakyat, tunaikanlah tanggungjawab dengan sebaiknya demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara.
“Insya-Allah PAS akan turut menyumbang dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan membela kebajikan rakyat secara bersama. – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

“Keputusan ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan muafakat serta kerjasama dalam PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Dengan penuh rasa tawaduk, PN akan menggalas mandat ini dengan tekad dan iltizam untuk menjana usaha pembangunan serta mencerdaskan ekonomi pasca pandemik Covid-19.” Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Dalam era mencabar hari ini, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan berkeupayaan tinggi bukan sahaja di peringkat kerajaan Persekutuan tetapi juga di peringkat kerajaan negeri.
“Tahniah kepada semua pihak yang membantu kemenangan ini terutamanya rakyat Sabah yang bijak memilih.” – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

“Saya sedar keputusan PRN Sabah kali ini tidak berpihak kepada MCA dan banyak lagi kelemahan yang perlu diatasi. MCA akan menjalankan post-mortem dan bertekad akan memperbaiki segala kekurangan.” – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

“Syukur alhamdulillah. Terima kasih rakyat Sabah kerana percaya. BN dan rakan-rakan parti seperjuangan tidak akan mensia-siakan mandat dan kepercayaan ini.
“Tekad untuk bela kepentingan Negeri Sabah di Bawah Bayu akan kita usahakan dengan bersungguh-sungguh. Saya sendiri akan bantu dengan sedaya upaya, seikhlas hati. InsyaAllah.” – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

“InsyaAllah kemenangan Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah malam ini juga tanda keyakinan rakyat kepada kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kita akan teruskan khidmat kepada rakyat!” – Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal


