PENYANYI dangdut terkenal, Mas Idayu bakal bergelar isteri kepada Penerbit Eksekutif TV3, Sufian Isa, tidak lama lagi.
Difahamkan, mereka berdua mula mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu, dan khabarnya akan mendirikan rumah tangga sekitar September tahun ini.
“Sebenarnya memang sudah macam kawan. Tetapi, tak sangka. Pusing-pusing, Allah merancang dia untuk saya.
“Padahal, dua tahun lepas, dalam program Lagu Cinta Kita (LCK) memang sudah ada ejek-ejekkan. Semua tahu, di Asia, orang panggil Mummy ini, Mummy.
“Dalam sidang media Lagu Cinta Kita Tiga, dia pernah katakan, tadi Mummy bagi ucapan, ini Daddy pula bagi ucapan. Sejak itu, team LCK kenen-kenenkan,” kata Mas Idayu.
Pelantun lagu Cintaku 100% itu memberitahu sudah saling mengenali dengan penerbit eksekutif berkenaan sejak tahun 2008.
Bagaimanapun, dia akui hubungan mereka hanya serius bermula beberapa bulan yang lalu.
Menurutnya lagi, Sufian sudahpun datang berjumpa dengan kakak sulungnya.
“Tiada istilah dia melamar saya. Masing-masing faham isi hati. Dia memberitahu ingin berjumpa keluarga saya.
“Saya gembira kerana dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaga saya. Anak saya yang aturkan empat kali pertemuan kami,” kongsinya.
Mengulas mengenai persiapan hari bahagianya, Mas Idayu turut memaklumkan bahawa beberapa perkara sudahpun mula dilakukan.
“Sudah 30 peratus siap. Tempat ada beberapa, cuma nak pilih sahaja,” katanya lagi.
Mas Idayu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada tahun 1997.
Namun keduanya mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun 2006. Mereka telah dikurniakan seorang anak, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – Malaysiapost

