Semak semula FWCMS – PAPSMA

0
1

KERAJAAN digesa menyemak semula kontrak aplikasi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang didakwa gagal menjalankan fungsinya dengan baik dalam urusan merekrut pekerja asing.

Gesaan itu dibuat Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) yang berpendapat sistem yang diperkenalkan telah tidak terpakai malah ia mengambil masa yang lama untuk memproses permohonan daripada majikan.

Setiausaha Agung PAPSMA, Dr N Sukumaran berkata, selepas 475,678 permohonan melalui sistem itu hanya 2,069 telah diluluskan dan syarikat masih belum mendapat kelulusan untuk membayar levi masing-masing.

“Ini menunjukkan sistem ini sudah lapuk dan tidak akan dapat memenuhi keperluan buruh di Malaysia.

“Majikan, pengilang, PKS dan usahawan kecil menjerit putus asa dan nampaknya Kementerian masih menunggu sistem ini beroperasi sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sukumaran, sejak Januari tahun ini, masih tiada hala tuju yang jelas berkaitan pengambilan pekerja asing atau berkaitan permohonan yang memenuhi keperluan khususnya industri dan majikan.

Berikutan itu, PAPSMA turut menggesa agar kerajaan memandang serius situasi pengambilan pekerja asing susulan kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan industri dan sektor perniagaan.

“PAPSMA juga berpendapat sistem dan aplikasi sebegitu harus dikendalikan oleh kerajaan dan bukan dikendalikan syarikat swasta.

“Ia adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat peribadi, butiran syarikat, butiran bank peribadi, pembocoran maklumat secara besar-besaran,” katanya.

Sukumaran berkata, proses pengambilan secara manual perlu dibuka serta-merta sementara menunggu sistem aplikasi digital dibina khusus untuk mengatasi kelewatan kemasukan semasa pekerja asing ke Malaysia.

Beliau turut mendakwa, wujud begitu banyak halangan untuk membenarkan pekerja Bangladesh masuk ke Malaysia selain syarikat yang mengawal klinik perubatan di negara sumber dan juga prosedur Visa Luar Negara (VLN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here