KERAJAAN Kedah meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Awam bagi negeri itu sebanyak RM1,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Exco kerajaan negeri, hari ini.
Menurutnya, kelulusan itu akan melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.35 juta.
“Selain itu, Mesyuarat Exco meluluskan bantuan khas Hari Raya kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKK seluruh negeri melibatkan 2,050 orang penerima dengan peruntukan RM305,750.00.
“Ia akan disalurkan melalui Pusat Khidmat Adun masing-masing,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa penjawat awam gred 56 dan ke bawah menikmati durian runtuh apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500.
Katanya, bantuan tersebut turut dinikmati oleh kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP. – Malaysiapost

