Berhentilah perkecilkan orang Melayu – Syed Saddiq

0
1
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman membidas pihak yang sering memperkecilkan orang Melayu seolah-olah mereka suka kepada politik perpecahan.

Malah, Ahli Parlimen Muar itu membidas usaha menakut-nakutkan orang Melayu dan menimbulkan rasa tidak yakin terhadap parti yang berkonsepkan semua kaum di Malaysia.

“Kenapa? Kerana mereka tahu bahawa dengan menimbulkan ketakutan, keresahan dan rasa tidak yakin Melayu ini akan memecahkan undi dan sokongan rakyat Malaysia kepada parti yang membawa suara rakyat Malaysia secara keseluruhan termasuklah untuk orang Melayu seperti MUDA.

“Macam biasalah, apabila mahu menarik orang Melayu untuk menyokong mereka, perkataan seperti “liberal, pelindung Melayu, nasib Melayu susah” akan basah di lidah mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Kenyataan Syed Saddiq itu sebagai maklum balas kepada Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan orang Melayu hidupnya berpuak-puak, feudal dan memerlukan pelindung.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata Wan Ahmad Fahysal juga memetik nama MUDA, kononnya Melayu tidak bersedia dengan idea dan politik matang seperti dibawanya.

“Soalannya, adakah selama ini Melayu “dilindungi” oleh parti politik lama dan lapuk?

“Apabila lebih 600,000 isi rumah M40 jatuh dan tergelincir ke kumpulan B40, adakah orang Melayu terlindung dari krisis ini?,” soalnya.

Justeru, Syed Saddiq menegaskan, semua pihak berhentilah memperkecilkan orang Melayu sedangkan pada masa yang sama menguntungkan kroni dan golongan elit Melayu sahaja.

“Apabila ramai rakyat Malaysia yang terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak cukup makan minum waktu Covid-19, adakah orang Melayu terlindung dari lapar dan sakit?

“Apabila rakyat sendiri lihat gaya hidup pemimpin politik Melayu yang ada jam tangan mewah beharga ratusan ribu ringgit, atau rumah sebesar istana dan kereta mewah anak-anak mereka, adakah orang Melayu juga dapat menikmati kehidupan mewah begini?

“Sebab itu saya selalu sebut, tak usah terus bermain dengan politik kaum dan cuba memperkecilkan orang Melayu seolah-olah mereka tidak tahu bahawa parti politik lama yang bercakap “Melayu, Melayu, Melayu” ini hanya menguntungkan kumpulan elit, keluarga ahli politik dan kroni sahaja,” katanya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menjelaskan, MUDA yang ditubuhnya adalah parti untuk semua kaum di Malaysia dan akan monolong semua kaum.

“Selagi mana ada orang yang susah, lapar dan sakit, kita akan terus berkhidmat untuk mereka.

“Bukannya dengan terus memperkecilkan orang Melayu sebagai orang yang hidupnya berpuak-puak, feudal dan perlukan pelindung,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here