GITARIS kedua kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Haron Amat, 55, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit kanser darah, jam 9 pagi di Hospital Ampang, semalam.
Berita sedih itu disahkan anak ketiga arwah, Hana Nafisah Haron yang berkata, bapanya tidak mempunyai sebarang sakit kronik, selama ini.
“Arwah kerap demam sepanjang sebulan ini. Malah, arwah mengalami ruam pada bahagian badan, tetapi hanya diubati dengan menyapu krim kulit.
“Doktor mengesahkan arwah menghidap penyakit kanser darah. Bagaimanapun, arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 3 Mac lalu,” katanya.
Hana Nafisah berkata, selepas keluar hospital, arwah melakukan proses kimoterapi, selain pernah mengalami demam teruk sebelum keluarga memutuskan untuk membawanya ke hospital.
“Namun, kami dimaklumkan pemergian arwah, pagi ini. Kami reda dengan takdir ini,” katanya.
Jelasnya, jenazah arwah bapanya dimandi dan dikafankan di Masjid Abu Ubaidah, Sri Rampai sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Selasih, Gombak, semalam.
Allahyarham Haron yang berasal dari Kulai, Johor meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata. – Malaysiapost
Kredit foto: Mstar

