Langgar syarat lesen, 2 nelayan ditahan

0
1

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan di Tanjung Hantu, Perak kerana melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan tidak dibenarkan.

Bot Kelas B itu ditahan di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, pada 1 April lalu jam 4.45 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil, berkata tangkapan dibuat oleh bot ronda berikutan aduan awam yang diterima melalui Pusat Operasi negeri.

“Pemeriksaan di lokasi telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B sedang melakukan aktiviti memukat di kawasan kurang daripada 8.0 batu nautika menggunakan pukat tunda sebagai alat menangkap ikan.

“Bot itu dikendalikan dua kru warga tempatan termasuk tekong, berusia 26 dan 43 tahun dan telah gagal mengemukakan lesen asal bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan serta menggunakan pukat tunda dalam kawasan Zon A.

Beliau berkata, bot berkenaan serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, Perak untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.

“Peringatan kepada bot-bot nelayan tempatan, patuhi peraturan serta syarat sah lesen dengan tidak menceroboh atau menjalankan aktiviti perikanan di zon yang tidak dibenarkan terutamanya di Zon A yang menjadi punca rezeki kepada nelayan tradisional atau pesisir pantai.

“Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here