PENGERUSI DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata kejayaan lima pelajar Malaysia mencipta sejarah apabila diterima masuk ke Universiti Harvard membuktikan rakyat negara ini mampu bersaing di peringkat global.
Beliau yang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian itu, berkata kerajaan harus memperkasa rakyat khususnya golongan anak muda tanpa mengira bangsa dan agama di negara ini.
“Tahniah kepada lima anak muda Malaysia yang mendapat kemasukan ke Universiti Harvard yang berprestij tahun ini. Kamu membuatkan kami sangat bangga.
“Ini adalah satu lagi bukti bahawa rakyat Malaysia mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi di peringkat global, berdasarkan pemerkasaan yang betul,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, kerajaan juga mesti memberi ganjaran kepada individu cemerlang berkenaan dan bukan menyekat potensi diri mereka.
“Kerajaan mesti memperkasakan rakyat terutamanya anak muda Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, bukan memperkayakan kroni.
“Kita mesti memberi ganjaran kepada mereka yang cemerlang bukan menghalang mereka peluang untuk merealisasikan potensi mereka sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau berharap lims pelajar berkenaan akan terus mempamerkan kecemerlangan masing-masing walau di mana jua mereka berada.
“Kepada enam anak muda Malaysia dan rakyat Malaysia yang lain yang mencari peluang di luar negara, teruskan bersinar di mana sahaja anda berada.
“Negara anda berbangga dengan anda. Sentiasa ingat Malaysia dan berkhidmat dalam apa jua kapasiti yang diminati,” katanya.
Semalam media melaporkan, Malaysia mencatat sejarah apabila lima pelajar bakal melanjutkan pengajian dalam program sarjana muda di Universiti Harvard, Amerika Syarikat bagi sesi 2026 iaitu rekod tertinggi bagi kemasukan ke universiti berprestij dunia itu.
Lima pelajar berkenaan adalah dua pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat A-Level iaitu Chooi Je Qin dan Herman Leong Xin Yang, Ishant Shah yang sedang mengikuti pengajian martrikulasi di Kolej Sunway.
Dua lagi pelajar yang turut tersenarai adalah anak kelahiran Sabah, Carisma Michaela Wong yang sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM dan pelajar dari Kuala Lumpur, Lee Ee Jenn.
Kelima-lima pelajar itu akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang antaranya biokimia, ekonomi, politik dan sosiologi. – Malaysiapost

