‘Najib hanya ada 9 ‘admin’ Facebook, tapi Rafizi ada lebih 20′ – Isham Jalil
KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menegaskan beliau bukan ‘admin’ Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Penafian itu dibuat Isham selepas mendakwa banyak pihak menyoalnya berhubung perkara itu selain menegaskan sudah memberi penjelasan sebelum ini.
“Ramai orang tanya berkenaan hal ini, dan dari dulu saya sudah jawab: Saya bukan ‘admin page’ Facebook Datuk Seri Najib,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.
Isham yang juga bekas pegawai khas Najib menjelaskan tiada pemimpin Umno yang menjadi ‘admin’ Ahli Parlimen Pekan itu.
Selain itu, beliau mendedahkan Najib hanya mempunyai sembilan ‘admin’ untuk mengendalikan Facebooknya, sebaliknya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempunyai lebih 20 ‘admin’.
“Saya sahabat dia (Najib) dan pemimpin parti yang berjawatan, tiada pemimpin parti yang jadi admin Najib
“Setahu saya Page Najib Razak ada 9 admin. Tapi page Rafizi ada sampai 20 admin, yang berpangkalan di Papua New Guinea pun ada,” sindirnya.
Sebelum ini, Rafizi dalam ciapan di Twitternya mendakwa bahawa hujahan Najib berhubung isu kemelut Sapura Energy Berhad dikendalikan oleh ‘admin’ yang dilantik Najib, dan bukan daripada ‘buah fikiran’ Ahli Parlimen Pekan itu. – Malaysiapost

