12,380 kes baharu Covid-19 semalam

0
2
Peniaga menjual juadah berbuka di Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang Kampong Bharu di Kuala Lumpur hari ini. Bazar di sini kembali meriah setelah "bercuti" tahun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

JUMLAH kes baharu harian Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia semalam adalah sebanyak 12,380 kes menjadikan keseluruhan kes yang direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara adalah 4,246,467 kes kumulatif.

Kes kematian baharu akibat Covid-19 yang dilaporkan semalam pula adalah sebanyak 30 kes termasuk 11 kes yang diklasifikasi sebagai kematian luar hospital (BID).

Jumlah keseluruhan kematian akibat wabak berkenaan di Malaysia kini adalah 35,099 kematian dengan 7,408 kes adalah BID.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu harian yang dilaporkan semalam, kes import adalah 462 kes membabitkan 326 warganegara dan 136 bukan warganegara.

Menurutnya, kes tempatan pula adalah sebanyak 11,918 kes membabitkan 11,408 warganegara dan 510 bukan warganegara.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 253 kes membabitkan 122 kes disahkan Covid-19; 131 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 157 kes membabitkan 61 kes disahkan Covid-19; 96 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata daripada 12,380 kes harian semalam Kategori 1 adalah 7,559 kes, Kategori 2 sebanyak 4,736 kes, Kategori 3, adalah 32 kes, manakala Kategori 4 sebanyak 20 kes dan Kategori 5 sebanyak 33 kes.

“Daripada 85 kes Covid-19 Kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan itu 24 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 33 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 28 kes pula telah menerima dos penggalak, manakala 57 kes lagi berumur 60 tahun ke atas, dan 49 kes mempunyai komorbid,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 20,635 kes menjadikan 4,018,421 kes kumulatif yang telah sembuh.

“Jumlah kluster yang dikesan setakat ini adalah 6,940 kluster dan tiada kluster baharu dikesan semalam, manakala sebanyak 6,759 kluster telah sembuh dan 181 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here