LEBIH 800,000 warga emas di Malaysia dikesan belum mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurutnya secara keseluruhan terdapat seramai 864,450 warga emas berusia 60 tahun ke atas yang masih belum menerima dos penggalak.
Beliau berkata, kes kematian akibat Covid-19 kini banyak tertumpu kepada golongan berkenaan terutama yang belum mendapat dos penggalak.
“864,450 warga emas berusia 60 tahun ke atas masih belum menerima ‘booster’. Kes kematian sekarang banyak tertumpu kepada golongan tersebut terutama yang belum boosted.
“Dalam fasa peralihan ini, kita harus melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti orang tua kita. Dapatkan dos penggalak untuk mereka,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.
Sementara itu berdasarkan infografik yang turut dikongsinya dalam ciapan itu, data menunjukkan sejak lima minggu lalu kadar kematian dalam kalangan warga emas berusia 80 tahun ke atas adalah tertinggi tinggi berbanding kumpulan usia lain.
Pada masa sama, Khairy turut mengingatkan masyarakat agar terus kekal selamat dan berwaspada semasa fasa peralihan ini.
“Alhamdulillah masjid mula penuh untuk solat berjemaah. Terus pakai pelitup hidung dan mulut dengan cara yang betul.
“Pakai pelitup dengan betul (terutamanya di tempat tertutup) pengudaraan yang baik penting dalam kita menguruskan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

