KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju untuk membuka semula tempoh permohonan Bantuan Kewangan Tahun 2022.
Ia melibatkan Syarikat Pengendali Pelancongan (TOBTAB), Syarikat MM2H dan Spa serta Pusat Urut Kaki (PUK) berlesen dan berdaftar di bawah MOTAC mulai 4 sehingga 15 April 2022.
Menerusi kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan permohonan tersebut dibuka semula selepas masih ramai pengusaha pelancongan yang belum memohon.
Menurutnya, kerajaan melalui Bajet 2022 telah mengumumkan berkenaan pemberian Bantuan Khas kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan berdaftar di bawah MOTAC dengan peruntukan RM85 juta.
Peruntukan itu termasuklah bantuan kepada syarikat-syarikat yang dinyatakan sebagai inisiatif bagi membantu sektor pelancongan yang sangat terjejas akibat Covid-19.
Permohonan untuk bantuan tersebut telah dibuka dari 1 sehingga 15 Mac 2022 namun masih banyak yang tidak berkesempatan berbuat demikian.
“Sehubungan itu, kementerian menyeru semua Syarikat Pengendali Pelancongan (TOBTAB), Syarikat MM2H dan Spa serta Pusat Urut Kaki (PUK) yang layak mengambil peluang ini mengemukakan permohonan secara atas talian kepada pihak MOTAC.
“Sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tutup permohonan iaitu selepas 15 April tidak akan dilayan,” kata kenyataan itu.
Menurut MOTAC, maklumat lanjut mengenai Bantuan Kewangan Tahun 2022 ini termasuk pautan permohonan, boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my.
“Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pejabat MOTAC negeri yang berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

