ABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan bahawa status Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani sehingga kini adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Unit Komunikasi Korporat JAKIM, dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan status berkenaan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-48 pada 3 April 2000.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-86 pada 2009 juga telah mengekalkan keputusan tersebut, di samping menghendaki pengamal ajaran ini segera bertaubat.
“Dan Muzakarah MKI kali ke-116 pada 2019 sekali lagi membincangkan kertas kajian semula mengenai kedudukan Tarekat Naqsyabandiah al- Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dan bersetuju mengekalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 tahun 2000,” katanya.
Menurut JAKIM, merujuk kepada pandangan Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke- 117 pada tahun 2020, muzakarah tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 tahun 2000.
“Sebaliknya ia hanyalah membenarkan pengikut tarekat berkenaan mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah.
“Serta uruf setempat berdasarkan maklumat yang dibentangkan pada Muzakarah ketika itu sebagaimana minit yang disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-118,” katanya.
JAKIM menegaskan sebarang pembatalan atau pindaan kepada sesuatu pandangan hukum secara prinsipnya mestilah melalui proses kajian ilmiah yang lebih teliti dan pembentangan semula kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI dengan mengambilkira pandangan ahli-ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI. – Malaysiapost

