Najib beritahu tidak perlu habiskan masa lama teliti transaksi 1MDB yang lalu – saksi

0
2
Najib Razak

BEKAS Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bahawa Datuk Seri Najib Razak meminta beliau supaya tidak menghabiskan masa terlalu lama melihat transaksi syarikat 1MDB yang lalu.

Mohd Bakke ketika disoal balas peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata sebaliknya bekas Perdana Menteri itu meminta beliau hanya memfokus serta meneliti cadangan usaha sama antara syarikat pelaburan strategik negara terbabit dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kerana perkara berkenaan sudah agak lama dibincangkan dan keputusan perlu dibuat secepat mungkin.

“Walaupun terdapat kebimbangan mengenai beberapa isu dikaitkan dengan 1MDB yang ditimbulkan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) seperti dakwaan berhubung penyelewengan AS$700 juta, Najib beritahu untuk tidak menghabiskan masa terlalu lama dengan transaksi lalu.

“Disebabkan kata-kata Perdana Menteri ketika itu, saya kemudian berasa cukup selesa untuk menyampaikan perkara berkenaan kepada BOD yang lain bagi meneruskan usaha sama 1MDB-PSI,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mohd Bakke berkata, perkara berkenaan disampaikan oleh Najib melalui panggilan telefon selepas bekas Perdana Menteri itu selesai bercakap dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, ketika berlangsung Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada September 2009.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengarah yang dihadirinya dan turut disertai Jho Low di mana ahli perniagaan terbabit mendakwa menerima panggilan telefon daripada Najib.

Mohd Bakke dalam pernyataan saksi sebelum ini memberitahu mahkamah, Najib tidak membalas satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan mengenai wang AS$700 juta yang pada asalnya bagi satu usaha sama 1MDB-PSI dilencongkan ke sebuah syarikat lain.

Mohd Bakke berkata, beliau menghantar satu SMS kepada Najib menerusi telefon pintar BlackBerry selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 September 2009, untuk memaklumkan lencongan dana AS$700 juta kepada Good Star Ltd (yang dikaitkan dengan Jho Low) tetapi tidak mendapat balasan daripada bekas Perdana Menteri itu.

Mohd Bakke berkata demikian pada perbicaraan terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, atas dakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB.

Dalam pada itu, Mohd Bakke berkata, keterangannya sebelum ini bahawa Jho Low berperanan sebagai koordinator dan mewakili Najib, bukannya setakat tanggapan beliau semata-mata.

“Ia bukan tanggapan saya sahaja. Saya pernah beberapa kali bertemunya (Jho Low) ketika saya di pejabat bekas Perdana Menteri (Najib), ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan, begitu juga ketika beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya ada bertemu Jho Low di pejabat Najib di Putrajaya.

“Saya juga teringat memberitahu bekas Perdana Menteri bahawa Jho Low meminta saya membantu menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) (yang kemudian dikenali sebagai 1MDB). Peranan Jho Low diperkukuhkan lagi dengan mesyuarat yang dihadirinya bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu menubuhkan syarikat pelaburan strategik itu.

“Ia bukan sesuatu perkara yang berlaku secara kebetulan… ini juga bukan lahir daripada satu tanggapan semata-mata, ia diperkukuhkan dengan kedua-dua pemimpin ini,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, pada peringkat itu beliau merasakan seolah-olah berada dalam mahkamah Datuk Collin Lawrence Sequarah (yang mendengar kes penyelewengan 1MDB) berdasarkan soalan peguam yang lebih banyak menyentuh isu penyelewengan dana 1MDB.

Muhammad Shafee menjelaskan, isu berhubung panggilan telefon oleh Najib sebelum ini dibangkitkan oleh pihak pendakwaan, dan pembelaan berhak menyoal balas saksi mengenainya.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbicaraan bersambung 12 April ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here