DATUK Seri Najib Razak membidas dakwaan Rafizi Ramli kononnya kemelut Sapura Synergy tercetus kerana pengurusan terlalu mengejar saham tinggi dengan sengaja membida projek yang akan rugi.
Bekas Perdana Menteri itu menyelar dakwaan Naib Presiden PKR itu yang membuat kesimpulan – lagi banyak projek berpotensi rugi dimenangi Sapura maka lagi tinggi harga saham, pampasan tinggi dan bonus diberi kepada pengurusan syarikat itu.
“Entah dari longkang mana dia kutip fakta atau dia reka sendiri. Di alam mana dia duduk?
“Tengok harga saham sejak tahun 2014. Kat mana yang harga saham Sapura naik sejak 8 tahun dahulu?
“Lagipun, harga saham hanya naik untuk seketika sahaja sekiranya umum menang projek. Harga saham adalah lebih bergantung kepada untung/rugi sebuah syarikat dan pulangan dividen diberi kepada pelabur.
“Logik dia adalah songsang. Terbalik dengan realiti. Lagi banyak projek yang rugi diambil, lagi banyak kerugian ditanggung dan lagi rendah harga saham akan turun, bukan sebaliknya,” katanya di Facebook, hari ini.
Najib juga mendakwa Rafizi terbukti tidak memahami masalah asas yang dihadapi Sapura dengan langsung tidak menyatakan empat faktor penting yanf mencetus kemelut syarikat berkenaan.
“Tulisan Rafizi hari ini jelas menunjukkan dia langsung tak faham masalah asas Sapura Energy sebab dia langsung tak sebut keempat-empat kejadian yang amat penting:
“Kejatuhan harga minyak dunia (ataupun great oil price crash) sebanyak 80% sehingga ke paras bawah US$30 satu tong yang berlaku dari tahun 2014 hingga 2016 mengakibatkan banyak customer Sapura hentikan projek baharu.
“Pada ketika kekurangan projek maka persaingan untuk menang projek adalah lebih tinggi maka margin keuntungan projek akan rendah.
“Kegagalan PNB untuk membantu Sapura mendapat kemudahan modal kerja sebanyak RM2 bilion dari bank pada tahun 2019 menyebabkan kemampuan Sapura untuk menyampaikan projek terjejas.
“Lockdown pandemik Covid dan penutupan sempadan negara telah menghalangkan dan merumitkan keupayaan Sapura untuk menyampaikan projek dan mendapat bayaran.
“Baki kemudahan modal kerja bank Sapura telah dibeku oleh bank pada Oktober 2021, menyebabkan banyak projek tidak dapat diteruskan,” jelasnya.
Pada masa sama, Najib juga kesal dengan tindakan Rafizi yang tahu menyebut berkenaan akta tetapi tidak menjelaskan implikasi yang sedang dihadapi oleh Sapura.
“Dia juga sebut ini, 10 Mac 2022 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi pelepasan kepada Kumpulan Sapura di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat yang membolehkan Sapura merundingkan menstrukturkan kembali pembayaran hutangnya kepada pemiutang dan vendor.
“Dia sebut Akta tapi dia tak sebut apa sebenarnya ini dan bila tempoh pelepasan ini akan tamat.
“Apa yang terjadi ialah Sapura sudah dihukumkan berpuluh perintah muflis oleh vendor-vendornya. Pelepasan mahkamah yang diberi pada 10 Mac 2022 pula ialah menghalang Sapura diisytiharkan muflis serta-merta dan tempohnya akan tamat pada 10 Jun 2022, iaitu sekitar 2 bulan lagi dari hari ini,” katanya.
Najib juga melahirkan kebimbangan masa depan Sapura jika tidak dibantu dana kerajaan kerana masih ada vendor-vendor yang belum menerima bayaran.
“Ini juga bermakna vendor-vendor masih tidak akan menerima bayaran dari Sapura dalam tempoh 3 bulan ini. Ada yang tidak dibayar sejak lebih setahun dahulu, mampukah mereka bertahan lagi?
“Dan apakah akan berlaku sekiranya rundingan dengan vendor gagal menjelang tamat pelepasan ini?
“Rafizi juga tidak beritahu bahawa pembekuan fasiliti bank pada bulan Oktober 2021 menghalang Sapura untuk menyampaikan projek sedia ada dalam tangan bernilai sebanyak RM7 bilion.
“Dan jika projek lambat siap maka penalti lewat akan dikenakan. Sekiranya, penalti ialah 10% maka nilai penalti ialah RM700 juta dan jika 20%, ianya RM1.4 bilion,” jelasnya.
Najib juga menegaskan, untuk membina keupayaan syarikat, perkara yang patut dielakkan ialah menjual aset-aset yang dimiliki.
“Rafizi juga kata pengurusan baharu yang sudah lebih setahun berkhidmat di Sapura sudah ada pelan rasionalisasi yang dinamakan Projek Reset.
“Tetapi apa yang Rafizi tak sebut ialah Pelan Rasionalisasi ini adalah untuk menjual aset, iaitu keadaan yang kita mahu elak sebab sebuah syarikat dalam krisis yang terpaksa jual aset akan menerima harga jualan paksaan ataupun firesale price.
“Hanya syarikat-syarikat pembeli asing akan untung dalam keadaan ini sebab aset-aset Sapura adalah lebih baharu dan lebih canggih berbanding pesaing.
“Untuk membina syarikat dan kekuatan negara, kita bukan jual aset semasa dalam kemelut tetapi dengan cara membina aset dan kekuatan,” katanya. – Malaysiapost

