Agong berkenan berangkat ke Program Ziarah Kasih di Pulau Tioman

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah   berkenan berangkat menyempurnakan Program Ziarah Kasih di Kampung Mukut, Pulau Tioman, Pahang hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, memaklumkan Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir dua jam daripada jam 12 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama penduduk setempat.

Turut mengiring ialah anakanda Seri Paduka, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iliyana, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 10 keluarga asnaf dan empat buah masjid serta sebuah surau di kampung itu sempena menjelang bulan Ramadan. Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 25 murid daripada keluarga asnaf di Sekolah Kebangsaan Kampung Mukut.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa berangkat meninjau rumah-rumah baharu yang telah bina untuk keluarga asnaf di bawah program bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang,” menurut kenyataan itu.

Pada 29 dan 30 Mac lalu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan berangkat menyempurnakan Program Ziarah Kasih di Kampung Tekek dan Kampung Juara, Pulau Tioman dan mengurniakan sumbangan kepada penduduk setempat yang memerlukan bantuan.

Dalam program Ziarah Kasih ke Kampung Mukut, Kampung Juara dan Kampung Tekek ini, Yang di-Pertuan Agong turut telah berkenan meluangkan masa mendengar permintaan dan keperluan penduduk setempat.

Seri Paduka Baginda juga berkenan berkongsi pandangan bagi meningkatkan lagi keselesaan dan kemudahan rakyat di Pulau Tioman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here