POLIS mengesan taktik terbaharu penipuan sindiket Macau Scam dengan menggunakan cara menghantar gambar ‘waran tangkap’ bagi menakutkan mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, mangsa kebiasaannya akan menerima panggilan dari nombor tidak dikenali, yang mendakwa mereka adalah pegawai polis, mahkamah dan sebagainya.
“Taktik ini merupakan sebahagian daripada modus operandi yang digunakan oleh Sindiket Macau Scam bagi memperdayakan dan menipu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, jelas Mohd Kamarudin bagi menyempurnakan waran tangkap, pihak polis tidak akan menghantar gambar dokumen tersebut kepada individu yang terlibat.
“Waran tersebut hanya akan ditunjukkan secara fizikal kepada individu yang ditahan semasa tangkapan dilakukan.
“Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada dakwaan pihak tidak dikenali yang mengaitkan anda dengan mana-mana kes jenayah.
“Selain itu, sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan adalah dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.
“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya. – Malaysiapost

