Jangan lupa jasa kawan yang naikkan kita – Wan Saiful

0
2

KETUA Penerangan Bersatu menegur ahli-ahli parti itu agar tidak menjadikan parti itu lebih menonjol seperti individualistik.

Sebaliknya, beliau berkata, Bersatu perlu dilihat sebagai parti yang berfungsi atas semangat kerjasama erat ahli-ahlinya.

“Dalam politik ni terus terang saya katakan, ini sebagai peringatan untuk kita, yang paling cepat lupa ialah orang yang kita tolong.

“Kita jangan lupa kawan-kawan kita yang menaikkan kita untuk sesuatu jawatan. Ini peringatan sebab kalau tidak parti kita ini akan menjadi parti yang berbentuk individualistik dan bukan parti yang ingin mengubah masa depan Malaysia,” ucapnya.

Beliau berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama semua ketua penerangan Bersatu Sabah, kelmarin.

Sementara itu dalam hantaran Facebook terbaharunya, Wan Saiful menjelaskan, dalam perjuangan membawa perubahan, ukhuwah sebagai sahabat amat penting dan bukan hanya hubungan birokrasi berdasarkan jawatan semata-mata.

“Dalam pertemuan saya dengan jentera Penerangan Bersatu Sabah pada 29 Mac lalu, saya memberi sedikit peringatan mengenai bentuk dan budaya parti yang kita mahu bina.

“Kita mesti jadikan hubungan sesama kita sebagai hubungan berteraskan persahabatan agar rakan kita menjadi pelengkap kepada kelemahan kita dan kita juga sentiasa lapang dada apabila ditegur dengan ikhlas oleh rakan-rakan seperjuangan.

“Saya juga mengingatkan supaya mereka yang diberikan amanah kedudukan dan kuasa, jangan terlalu cepat lupa kepada orang lain yang membantu meletakkan kita di kedudukan itu. Kedudukan itu bukan hasil seorang diri, tapi sudah pasti ramai yang berusaha secara bersama,” katanya di Facebook, hari ini.

Wan Saiful juga menegaskan, Bersatu tidak boleh membenarkan wujudnya sikap terlalu cepat terlupa jasa di kalangan ahlinya.

“Sebaliknya kita mesti membudayakan ukhuwah yang saling menghargai usaha dan sumbangan sebegitu ramai pejuang di sekeliling kita.

“Budaya ukhuwah yang saling menghargai mesti disemai dalam parti agar kita menjadi satu rumpun yang sentiasa memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here