NAMPAKNYA masih belum reda isu seorang pensyarah tular kerana memarahi seorang pelajar B40 yang tidak memiliki komputer riba, apabila bekas pelajarnya tampil mempertahankan wanita itu.
Sejak klip video berdurasi satu minit 45 saat itu tular, pensyarah yang bergelar profesor itu menerima kecaman hebat netizen termasuk pemimpin politik susulan kenyataannya yang didakwa tidak sensitif.
Namun, menerusi perkongsian Facebook beberapa bekas pelajar penyarah itu mendakwa wanita itu sememangnya tegas ketika mengajar namun baik hati.
Graduan, Syaif Yusof mendakwa pensyarah tersebut pernah mengajarnya ketika di universiti dahulu dan mengakui beliau baik hati.
“Saya berdiri untuk Prof, beliau sentiasa seorang pensyarah yang terbaik bagi saya, siapa yang pernah belajar dengannya sahaja yang tahu apa yang berlaku dan bagaimana caranya ketika di dalam kelas dan luar kelas,” tulisnya dalam hantaran itu.
Sementara itu, seorang lagi bekas pelajarnya, Nik Muhammad memaklumkan pensyarah tersebut merupakan seorang yang tegas ketika mengajar, namun perwatakannya akan berubah menjadi lembut dan mesra selepas waktu kelas.
“Macam ibu yang garang, lepas marah anak akan bertukar jadi ibu penyayang pula, mungkin sebab musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tak sempat nak jumpa di luar waktu kelas sebagai ibu penyayang,” katanya.
Jelasnya, ketika masih bergelar seorang pelajar, dia pernah gagal dalam subjek yang diajar pensyarah terbabit dan atas berkat bimbingan beliau terhadapnya, akhirnya dia berjaya sehingga kini.
Sementara itu, Riena Zenobia mendakwa pensyarah berkenaan sudah bersara dan pelajar yang dimarahi itu juga telah tamat pengajian.
“Lepas marah-marah pelajarnya, dia usahakan pelajar tersebut untuk dapatkan komputer riba, pelajar itu pun dah tamat belajar dan pensyarah dah bersara.
“Individu yang kongsi video pun dah padamkan akaun, orang ramai sahaja belum habis buat kerja,” katanya.
Katanya, pensyarah tersebut sememangnya seorang yang cepat melenting, mulutnya mudah marah tetapi hatinya sangat baik.
Terdahulu, tular klip video berdurasi satu minit 45 saat yang memaparkan situasi pembelajaran dalam talian di mana seorang pensyarah wanita memarahi pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba.
Susulan itu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meminta UiTM menjelaskan berhubung video tular seorang pensyarahnya didakwa memperlekeh pelajar dari golongan B40.
Pada perkembangan sama, UiTM dalam kenyataan menegaskan telah meneliti isu video tular melibatkan seorang pensyarahnya yang mengeluarkan komen sensitif terhadap seorang pelajar yang dikatakan tidak mempunyai komputer riba. – Malaysiapost

