
PERISTIWA tidak berprinsip sebilangan ahli politik yang menjadi ‘katak’ demi jawatan dan pangkat telah menjadikan kerjaya politik tanah air tidak ubah seperti di Barat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii, berkata kumpulan itu sanggup menjadi katak semata-mata mahu mendapat Jawatan menteri, meninggalkan prinsip malah mengetepikan perjuangan parti.
Katanya, senario ‘katak politik’ itu bukan hanya membabitkan Barisan Nasional (BN) sahaja, tetapi parti lain termasuk PKR, Amanah, DAR serta Sarawak turut berdepan isu sama.
“Pemimpin yang menjadi katak ini racun kepada kerja khidmat bakti sebagai seorang politik sekian lama yang dianggap sebagai suci selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hakikatnya rakyat Malaysia menjadikan orang politik sebagai tempat mengadu untuk pelbagai urusan termasuk kemasukan anak ke universiti, belajar luar negara, masalah bil utiliti, memohon bantuan dan perkara lain.
“Di Malaysia, kerjaya politik bukan seperti digambarkan di Barat sebelum ini. Negara Barat mengklasifikasikan kerjaya politik adalah bidang yang paling teruk selepas kerjaya peguam,” katanya.
Mohd Razlan berkata, sejak Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, mereka menggunakan kaedah ugutan, pujukan dan sogokan untuk mendapatkan sokongan.
“Kalau tak boleh pujuk, mereka sogok, kalau tak jalan sogok, mereka ugut dan kenakan pelbagai sabitan jenayah.
“Ini semua telah menjadikan negara ini kembali kepada zaman kuku besi, zaman yang menunjukkan kuasa adalah segalanya, dan setiap mereka yang berkuasa boleh melakukan apa sahaja terhadap musuh, kalau tak ikut, ibaratnya kepala dipenggal,” katanya.
Mohd Razlan juga mendakwa mereka juga mahu Undang-undang Anti Lompat parti digagalkan, melalui pintu belakang dan permainan politik.
Katanya, usaha itu dilakukan pihak berkenaan demi menghalalkan perilaku lompat katak dalam politik.
“Semoga Rakyat Malaysia menjauhkan diri dari Parti Perikatan Nasional (PN) yang melakukan semua kerja buruk ini, agar kita semua tidak dikaitkan dengan Katak-katak beracun ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan dibentang pada Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menetapkan tarikh itu. – Malaysiapost
