Polis tahan kumpulan samun larikan 2 tan gangsa dan tembaga milik sebuah kilang

0
2
Polis Di Raja Malaysia

POLIS menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah kilang di Jalan Seelong, Senai Jaya, Johor yang membabitkan kehilangan beg berisi gangsa dan tembaga milik kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow, berkata tangkapan dibuat dalam beberapa serbuan yang dijalankan pada kelmarin hingga semalam di beberapa lokasi.

Menurutnya, tangkapan itu susulan daripada laporan polis yang diterima daripada seorang lelaki warga asing berhubung kejadian samun berkenaan pada 6 Mac lalu.

“Warga asing berkenaan menyatakan semasa berada di kilang dia didatangi empat lelaki bersenjatakan besi panjang dan mangsa dipukul serta mengalami kecederaan di bahagian bahu kiri.

“Dua beg berisi gangsa dan tembaga yang dianggarkan berat 1 tan setiap beg yang dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bersama pasukan D9 dan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) telah membuat beberapa serbuan serta tangkapan.

“Tangkapan membabitkan enam lelaki tempatan di kawasan Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru. Kesemua suspek berusia 17 hingga 48 tahun.

“Hasil semakan rekod mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas satu peti besi, dua parang, besi kuku kambing, lapan telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah lori.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi membuktikan kes ini selain menyiasat pembabitan suspek dalam kes-kes samun lain di dalam dan luar daerah Kulai.

“Kesemua suspek kini dikenakan reman selama 7 hari oleh Mahkamah Majistret Kulai sehingga 5 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here