FENOMENA cuaca panas yang melanda negara dijangkakan berlanjutan sehingga Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata cuaca panas dijangka mula reda menjelang Jun nanti.
Menurutnya, ketika ini, fenomena La Nina sederhana sedang berlaku dan suhu di seluruh negara masih dalam keadaan normal.
“Namun, suhu adalah berbeza-beza mengikut tempat dan bentuk muka bumi. Stesen Meteorologi Chuping merekodkan suhu tertinggi pada 9 April 1998 dengan bacaan 40.1 darjah Celsius di bawah pengaruh fenomena El Nino kuat.
“Suhu maksimum yang direkod di Chuping sejak seminggu lalu ialah sekitar 34 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius,” katanya.
Muhammad Helmi berkata, bagaimanapun suhu maksimum di Lembah Klang adalah sedikit lebih tinggi iaitu di antara 35 darjah Celsius hingga 36 darjah Celsius.
Beliau menjelaskan tiada suhu melampau yang dicatat dalam tempoh seminggu ini.
Katanya, berdasarkan rekod MetMalaysia didapati suhu maksimum sedikit lebih tinggi di kawasan Lembah Klang dan pedalaman Pahang.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada kemungkinan berlaku kemarau buat masa ini.
Tambahnya, orang ramai boleh menyemak status cuaca panas terkini di pautan https://www.met.gov.my/iklim/kemarau/statusgelombanghaba. – Malaysiapost

