AHLI Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat mengisytihar secara rasmi keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dilakukan demi mengekalkan kestabilan politik negara setelah berbincang dengan penyokong di kawasan Parlimennya.
“Keputusan ini dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan penyokong akar umbi di kawasan saya dan juga beberapa faktor utama yang antaranya adalah ketidakstabilan politik di negara ini yang menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya langkah terbaik untuk mara ialah mengetepikan politik buat masa ini agar dapat membantu mengstabilkan dan membina semula negara tercinta.
“Perdana Menteri kita sedang melakukan segala yang perlu bagi membantu rakyat Malaysia mengharungi tempoh yang sukar ini dan saya perlu memainkan peranan dengan menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Masir sebelum ini pernah menganggotai Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak, bagaimanapun, beliau meletak jawatan dan kemudian menyertai PSB diterajui Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu, Masir bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, namun tewas kepada Datuk Snowdan Anak Donald Lawan dari GPS dengan majoriti 1,285 undi. – Malaysiapost

