Kerajaan tidak nafi kepentingan bahasa Inggeris

0
2

KENYATAAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa amat mengecewakan.

EXCO Pemuda Umno, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, berkata kenyataan itu tidak wajar dinyatakan oleh seorang Ahli Parlimen berbangsa Melayu.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmal Hazlan berkata, namun pada masa sama masyarakat pelbagai kaum di Malaysia bebas menggunakan bahasa lain seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

“Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara.

“Jika ditelusuri sejarah, Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama termasuk di dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian sejak daripada pra-kemerdekaan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hazlan berkata, pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia juga merupakan hasil persetujuan dan persepakatan oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

“Begitulah kukuhnya nilai permuafakatan di antara tokoh-tokoh terdahulu dan nilai inilah yang telah membina asas penyatuan dan kebersatuan yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari ini,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan dakwaan Syed Saddiq yang menganggap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN sebagai langkah meraih sokongan bagi pilihan raya, hanyalah polemik politik semata-mata.

“Syed Saddiq seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, bukannya yang berunsur provokatif.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ianya merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu Bahasa Inggeris.

“Bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia, bukannya bahasa etnik yang terperosok jauh di penjuru global,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq meminta kerajaanmenyediakan pelan untuk menangani halangan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia supaya mereka tidak terlepas peluang ekonomi yang lebih besar.

Beliau menegaskan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan antarabangsa dan rakyat Malaysia mesti menguasai bahasa itu untuk mendapat akses peluang di seluruh dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here