USAHA memansuhkan tol akan dapat dilaksanakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak dikhianati dalam Langkah Sheraton, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP itu, berkata ia dibuktikan apabila parti itu berjaya menurunkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang, ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan.
“Di bawah PH, tol Jambatan Kedua Pulau Pinang telah dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM5.74.
“Manakala bagi Jambatan Pertama Pulau Pinang pula daripada RM7 kepada RM5.74 dan untuk warga Pulau Pinang daripada RM5.60 kepada RM4.59 serta memansuhkan tol untuk motosikal,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Datuk Seri Najib Razak berhubung kegagalan PH dan DAP mengotakan janji untuk memansuhkan tol termasuk di Jambatan Pulau Pinang.
“Adakah dia (Najib) sudah lupa bahawa dialah yang mengenakan tol tersebut dan tidak mengambil sebarang langkah, sebelum 2018 ataupun selepas kerajaan pintu belakang mengambil alih pada Februari 2020,” katanya.
Guan Eng berkata, Kerajaan PH telah mula mengurangkan tol Jambatan Pulau Pinang dan juga Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 18 peratus dan memansuhkan tol untuk motosikal.
“Inilah langkah pertama dalam tempoh 22 bulan. Sekiranya dapat memenuhi mandat rakyat selama 5 tahun yang dirampas oleh Langkah Sheraton, tol akan berjaya dihapuskan sepenuhnya. Kerajaan sekarang buat apa?
“Tak faham mengapa yang kurangkan tol dipersalahkan tetapi yang tidak kurangkan satu sen pun diangkat sebagai hero.
“Kena ingat Pulau Pinang adalah Pulau Mutiara tidak ada berlian merah jambu di sini. Malu apa bossku, kan?,” katanya. – Malaysiapost

