Prasarana siasat video tular kakitangan pukul orang awam

0
1

PRASARANA Malaysia Bhd (Prasarana) sudah menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular di media sosial memaparkan lelaki berpakaian seragam syarikat itu memukul orang awam di sebuah kedai serbaneka.

Prasarana dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan serta-merta ke atas insiden berkenaan.

“Kami memandang serius dakwaan bahawa si pemukul adalah kakitangan Prasarana berdasarkan pakaian seragam yang dipakai di dalam video berkenaan.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila mangsa ditangkap dan dituduh mengambil makanan tanpa membayar di kedai serbaneka tersebut,” menurut kenyataan itu.

Prasarana berkata, bagaimanapun tingkah laku si pemukul adalah bertentangan dengan kod etika kerja Prasarana.

Katanya, dalam apa juga situasi, individu terbabit sepatutnya memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa sekiranya memerlukan bantaun.

“Siasatan dalaman sudah dilancarkan dan Prasarana menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian menghubungi talian 03-7885 2585, atau emel ke [email protected].

“Prasarana juga memohon maaf atas kejadian ini dan menjamin tindakan susulan yang bersesuaian akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit dua saat memaparkan tindakan dua lelaki yang memakai pakaian seragam Prasarana bertindak memukul seorang lelaki yang dipercayai mabuk di dalam sebuah kedai serbaneka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here