Isu MySejahtera: Banyak persoalan yang perlu dijawab Khairy

0
1

Aiman Hanif

BANYAK persoalan yang masih memerlukan jawapan berhubung isu MySejahtera, dan pastinya ia perlu dijawab secara tuntas oleh menteri berkaitan.

Jawapan yang diberikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) banyak “pertembungan”.

MySejahtera telah diakses 38 juta pengguna membabitkan rakyat Malaysia mahupun warga asing dan sudah pastinya menjadi pangkalan data yang menyimpan banyak maklumat penggunanya.

Ini menjadikan MySejahtera sebagai satu aplikasi yang cukup bernilai di negara ini dan mampu menjana pendapatan lumayan jika dimanfaatkan sebaik mungkin.

Oleh sebab itu lah, maka ada pihak tertentu cuba untuk menswastakan MySejahtera bagi meraih laba yang lumayan.

Pendedahan dokumen mahkamah yang mendedahkan Entomo (Kpisoft) bersetuju untuk memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd menerusi perjanjian berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025 juga menimbulkan satu persoalan besar yang perlu dirungkai.

Jika penyerahan ini berlaku secara tidak langsung MySejahtera akan menjadi milik Entomo sepenuhnya.

Dengan menyimpan data sehingga 38 juta, aplikasi ini pastinya memberi manfaat besar jika diguna pakai bagi kegunaan hospital di seluruh negara.

Persoalannya siapa individu di sebalik penjualan harta intelek ini?

Memetik panduan kini yang dikeluarkan Malaysiakini, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memiliki hak ke atas aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, jawapan bertulis Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kementerian Kesihatan kepada PAC membuatkan isu itu kelihatan lebih rumit.

Kementerian Kesihatan telah membentuk “Jawatankuasa Pemandu MySejahtera” yang dipengerusikan oleh Khairy untuk memutuskan pengurusan dan hala tuju permohonan serta melihat aspek kos-faedah pengambilalihan “lengkap” aplikasi itu.

Walaupun aplikasi asas MySejahtera dimiliki oleh kerajaan, beberapa modul tambahannya mungkin tidak dimiliki oleh kerajaan.

“Kini, KKM sebagai pemilik MySejahtera telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu MySejahtera yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan dengan keahlian pelbagai pihak seperti MOSTI, MAMPU, JPM, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta SKMM untuk tujuan tadbir urus dan hala tuju MySejahtera termasuklah dalam mempertimbangkan kos dibandingkan dengan manfaat untuk pengambilalihan MySejahtera secara sepenuhnya,” menurut maklum balas Mosti dan KKM dalam laporan PAC.

Ini antara persoalan yang perlu dirungkai dengan jelas oleh Khairy dan beliau telah berjanji untuk menjelaskannya pada persidangan Dewan Negara.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here