DUA suspek yang dipercayai terbabit dalam kes samun seorang wanita warga emas di Bandar Tun Razak, Cheras seperti yang tular pada Sabtu lalu, berjaya ditahan polis pada Ahad lalu dan semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata hasil semakan mendapati kejadian samun itu berlaku pada jam 9 pagi Sabtu lalu membabitkan dua suspek lelaki tempatan.
Menurutnya, suspek bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.
“Pada jam 12.15 pagi Ahad lalu, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan semakan mendapati suspek berusia 35 tahun dan memiliki 18 rekod jenayah lampau.
“Susulan daripada tangkapan awal itu, polis berjaya menahan suspek kedua pada jam 11 pagi semalam membabitkan lelaki berusia 29 tahun dan turut mempunyai 18 rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes samun tersebut selain wang tunai sebanyak RM5,300.
Katanya, suspek pertama direman sehingga 1 April ini, manakala suspek kedua sehingga 4 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sabtu lalu, tular satu rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan seorang wanita warga emas disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan bersenjatakan parang.
Suspek menahan mangsa sebelum meragut dua rantai leher serta memotong dua gelang emas mangsa dengan menggunakan gunting pemotong (cutter).
Mangsa berusia 77 tahun dikatakan ingin keluar makan bersama anaknya ketika kejadian berlaku. – Malaysiapost

