KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Parlimen menjalankan siasatan secara komprehensif berhubung isu terbaharu aplikasi MySejahtera.
Anwar berkata, siasatan telus perlu dilaksanakan demi memastikan kerahsiaan data peribadi rakyat dilindungi dari ‘watak tamak’ pihak yang mahu mencari keuntungan.
“Saya kini menggesa sebuah siasatan yang komprehensif oleh Parlimen dimulakan bagi mengenalpasti segala perihal melibatkan MySejahtera.
“Ia bagi memaknai konsep ketelusan dengan maksud kerahsiaan data peribadi dilindungi dari watak-watak yang tamak yang hanya mahu mencari keuntungan dari data peribadi rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga bermaksud selama 16 bulan tiada kontrak rundingan antara syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi MySejahtera iaitu KPISOFT Sdn Bhd (KPISoft) dengan kerajaan.
“Kenyataannya (Khairy) itu juga bermaksud bahawa kontrak rundingan dengan KPISoft/Entomo, hanya bermula saat beliau menjawat jawatan tersebut pada Ogos 2021, iaitu 16 bulan setelah aplikasi MySejahtera diluncurkan.
“Maksudnya selama 16 bulan kerajaan bersama dengan KPISoft/Entomo mengawalselia penggunaan dan data aplikasi MySejahtera tanpa sebarang perjanjian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, sehinggga kini persoalan tentang pemilikan MySejahtera dan data aplikasi itu terus kabur walaupun menteri sudah berusaha menjelaskannya.
“Menurut laporan, KPISoft/Entomo adalah 100% milik sebuah entiti Singapura iaitu Entomo Pte Ltd berdasarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
“Ini membimbangkan tatkala kerajaan Malaysia telah melibatkan entiti asing tanpa kontrak atas tujuan CSR untuk membangun dan mengurus perisian yang mengumpul data peribadi dan sensitif rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga terkejut bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan entiti asing untuk membangun dan mengurus aplikasi itu pada April 2020.
“Ia membabitkan kepentingan keselamatan negara yang tidak hanya punya akses kepada maklumat kesihatan dan peribadi tanpa perjanjian yang bertulis, tapi mempunyai pemilikan ke atas kerahsiaan dan data aplikasi tersebut.
“Dari menjelaskan persoalan-persoalan ini, Kabinet kini sedang mempertimbangkan untuk menganugerahkan MySJ Sdn. Bhd. kontrak secara runding terus untuk aplikasi MySejahtera,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, khairy gagal gagal untuk menjawab soalannya berhubung isu tender terbuka membangunkan aplikasi itu.
Katanya, keadaan itu sekali gus membawa maksud terdapat aspek yang tersembunyi dari pengetahuan umum tentang MySejahtera.
“Tidak mungkin rakyat akan tahu data apa yang telah disimpan dan bagaimana ia digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu oleh entiti asing ini.
“Menteri bertanggungjawab dan kabinet boleh saja menafikannya, namun sekiranya mengambilkira bahawa tidak ada sebarang perjanjian yang telus bermula dari April 2020,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia wajar untuk mempunyai syak wasangka dan berasa bimbang berhubung perkara terbabit.
“Rakyat Malaysia mahu tahu di manakah data itu disimpan? Apakah ia disimpan di dalam persekitaran yang selamat dengan akses yang terhad? Mekanisme apa yang digunapakai bagi mengelakkan pihak ketiga dari mengakses dan mencuri data mereka?
“(Selain) apa jenis perlindungan yang rakyat ada bagi mengelakkan data itu disalahguna yang akan mengakibatkan mereka dianiaya, ditipu dan di-diskriminasi?,” katanya.
Terdahulu, Khairy meminta Yang Dipertua Dewan Negara untuk membenarkan usul mengenai isu MySejahtera dibahas dalam sidang Dewan Negara, Khamis ini.
Khairy berkata, ia susulan terdapat banyak pertikaian mengenai aplikasi berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham. – Malaysiapost

