POLIS berjaya menumpaskan kumpulan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘Ah Long’ dalam satu serbuan di sebuah premis di Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Isahak, berkata serbuan dijalankan susulan laporan polis diterima pada 18 Mac lalu daripada seorang kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman peribadi sebanyak RM2,000 secara dalam talian.
Menurutnya, selepas mendapat pinjaman yang diberikan, kakitangan awam berkenaan tidak mampu membuat bayaran balik disebabkan kadar bunga pinjaman yang tinggi.
“Akibatnya, keluarganya telah diugut akan dicederakan melalui beberapa panggilan sekiranya pengadu gagal membayar hutang tersebut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang kerana menjalankan aktiviti pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana memberi ancaman atau ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan yang dijalankan semalam empat lelaki tempatan berusia 18 hingga 25 tahun berjaya ditangkap dan 13 telefon bimbit serta sembilan kad bank yang digunakan dalam kegiatan Ah Long tersebut dirampas.
“Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan berperanan sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan dan sindiket ini telah beroperasi kira-kira tiga hingga empat bulan di sekitar Kuala Lumpur.
“Kesemua ahli sindiket bekerja dengan tawaran gaji sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dan mereka kini direman sehingga 31 Mac ini bagi siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dari Ah Long, sebaliknya merujuk ke institusi yang berlesen. – Malaysiapost

