SINDIKET penipuan bidaan pembelian hartanah dan barangan berharga berjaya ditumpaskan dengan penahanan 11 suspek dalam serbuan sebuah premis di ibu negara, semalam.
Dalam serbuan pada jam 7 malam itu, kesemua 11 lelaki tempatan berusia 22 hingga 36 tahun terbabit ditahan bersama lima komputer riba serta 29 telefon bimbit pelbagai jenama yang digunakan dalam kegiatan penipuan secara dalam talian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak, berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan penipuan sejak awal bulan ini.
“Mereka akan menawarkan mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan bagi pembelian hartanah dan barangan berharga yang disyaki tidak wujud.
“Sindiket ini akan memperdaya mangsa untuk membuat bidaan dengan nilai bidaan bermula daripada 1,000 yuan (RM661) dan ke atas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum menjalankan sebarang aktiviti bidaan secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Sekiranya terkesan sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh membuat laporan menerusi CCID Hotline di talian 013-2111222.
“Atau Hotlie Polis Kuala Lumpur di talian 03-21461584/0585 atau CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599,” katanya. – Malaysiapost

