MENTERI Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim agar membenarkan usul mengenai isu aplikasi MySejahtera dibahas dalam sidang Dewan Negara pada Khamis ini.
Menurutnya, ia adalah susulan banyak pertikaian mengenai aplikasi berkenaan ditimbulkan dan boleh menimbulkan salah faham.
“Saya minta Yang Dipertua Dewan Negara benarkan satu usul berkenaan MySejahtera untuk dibahas Khamis ini yang akan dijawab oleh saya.
“Tiada apa-apa yang saya mahu sembunyikan. Mungkin mereka yang tak tahu tentang benda ini dan tak baca sepenuhnya isu itu terus bangkitkannya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan kerja di Hospital Port Dickson, hari ini.
Khairy mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta kerajaan menjelaskan dakwaan penglibatan MySJ Sdn Bhd dalam pengambilalihan aplikasi MySejahtera.
Beliau memahami kebimbangan masyarakat mengenai data peribadi mereka disalah guna dan berpandangan perkara itu lebih baik dijawab dalam sidang Dewan Negara.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pelantikan syarikat Kpisoft (M) Sdn Bhd untuk menguruskan aplikasi MySejahtera dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada awal pandemik lagi.
“Saya difahamkan yang MKN jemput beberapa syarikat untuk buat pembentangan. MKN pilih syarikat Kpisoft yang dijenamakan sebagai Entomo Malaysia Sdn Bhd yang kemudiannya memberi lesen kepada MySJ Sdn Bhd.
“Jadi kita sudah berunding dengan syarikat yang beri perkhidmatan sejak awal lagi kerana mereka yang membangunkan platform itu,” katanya.
Khairy berkata, berkenaan dengan perlantikan syarikat itu ia dalam proses untuk dijadikan sebagai kontrak rasmi. – Malaysiapost

