KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini giat memperjuangkan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lega kerana urusan pengeluaran dipermudahkan.
“KWSP baru sahaja memuat naik informasi ringkas berkenaan Pengeluaran Khas RM10,000 secara sekali gus (one-off).
“Alhamdulillah tiada syarat-syarat yang menyusahkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau menasihati pencarum agar hanya mengeluarkan simpanan berkenaan jika benar-benar memerlukan.
“Bagi yang memerlukan manfaatkanlah sebaiknya untuk memulakan kehidupan baharu pasca pandemik dan melangsaikan segala komitmen tertunggak.
“Bagi yang tidak memerlukan, kekalkanlah simpanan kalian bagi mendapat manfaat dividen dan keperluan masa depan,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, KWSP mengumumkan pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 di bawah kemudahan pengeluaran khas yang diumumkan kerajaan pada 16 Mac lalu, boleh membuat permohonan melalui portal khas.
KWSP memaklumkan, pemohon boleh berbuat demikian bermula 1 April ini melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.
Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran. – Malaysiapost

